Hampir dua minggu lebih aku tak update blog aku nih. Maklum la, sesi kuliah sudah bermula, jadi nak menulis pun, kalau dah penat tu, faham-faham je la kan. Hehe!
Berbalik kepada tajuk post aku kali ni. "Pelajar Cemerlang Terabai".
Ceritanya begini. aku kenal dengan seorang pelajar yang tinggal di Sabah. Khabarnya, dia memang dilahirkan di Sabah, membesar, dan bersekolah di Sabah. Mak ayah dia pulak berasal dari semenanjung. Hebat tak hebatnya kenalan aku ni, dia merupakan pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 bagi seluruh Sabah. SPM dia pun boleh tahan, 9A.
Nak dijadikan cerita, kenalan aku ni (aku namakan dia sebagai Haziq) berhasrat menyambung pengajiannya ke Mesir pada tahun ni. Dia telah memohon biasiswa Amanah Raya Berhad dan zakat dari Pusat Zakat Sabah.
Mula-mula, Amanah Raya telah menawarkan biasiswa mereka (walaupun dengan pelbagai kerenah) kepada si Haziq sebab Haziq memenuhi syarat 10 Mumtaz yang ditetapkan pihak Amanah Raya. Jadi, si Haziq pun tak risau jika tidak mendapat tajaan Pusat Zakat Sabah, sebab dah ada biasiswa Amanah Raya.
Alih-alih, tanpa diketahui sebab dan musabbabnya, Amanah Raya memaklumkan bahawa biasiswa si Haziq ditarik balik. Itupun nasib baik Haziq bertanya kepada pegawai yang menguruskan biasiswa tersebut. Kalau tak tanya, tak tahu la sampai bila Haziq menunggu. Kemudian Haziq memaklumkan kepada aku tentang berita tu. aku tak dapat nak kata apa dah. aku suruh Haziq banyakkan berdoa dan tunggu je zakat Sabah.
Setelah beberapa bulan berlalu, kenalan aku ni pun bertolak la ke Mesir bersama beberapa puluh orang pelajar yang lain, dari Sabah. Menurut Haziq, dia dan beberapa orang rakannya bertolak ke Mesir tanpa mengetahui sama ada zakat untuk mereka telah diluluskan atau belum. Maknyanya, masih belum ada hitam putih, sama ada pengajian mereka akan ditaja atau tidak. Cuma yang pastinya, mereka bertolak ke sana menggunakan tiket yang ditaja oleh Pusat Zakat Sabah.
Seminggu berlalu. Tiba-tiba, aku dapat tahu daripada mak Haziq sendiri bahawa permohonan zakat Haziq ditolak. Jadi, sekarang, Haziq dalam keadaan terkapai-kapai dan tunggu masa je untuk wang bekalannya habis. Nak suruh mak ayah dia tanggung pun, mak ayah dia ada anak-anak lain gak yang tengah mengaji kat IPT lain. Masing-masing pun nak pakai duit. Sewa rumah lagi. Nak supply Haziq 5 atau 6 bulan tu boleh la. Kalau 4 tahun??
Habis cerita pasal tu. Yang aku tak fahamnya, kenapa pelajar cemerlang seperti Haziq sukar untuk mendapatkan tajaan bagi menyambung pengajian? Sepatutnya, kalau dah pelajar tu mendapat keputusan yang cemerlang sebegitu, ada la beberapa penaja yang tampil menawarkan pinjaman atau biasiswa kepadanya. Kemudian barulah dia pilih penaja mana yang difikirkan sesuai. Tapi, dia pulak yang pergi ke sana ke mari untuk 'minta sedekah'.
Bukan dia nak demand lebih-lebih pun, cuma, kita mintak supaya hasil penat lelah pelajar-pelajar seperti dia dihargai.
aku hairan jugak dengan Pusat Zakat Sabah ni. Alasan yang mereka beri ialah, mak ayah Haziq tu bukan berasal dari Sabah. Tapi setahu aku, dah lebih 20 tahun dah mak ayah Haziq tu bayar zakat di SABAH. Takkan tak boleh terima Bantuan Dermasiswa Pendidikan yang mereka anjurkan?
Lagipun, kalau la alasan kerakyatan tu yang mereka gunakan, sekurang-kurangnya, berilah bantuan kepada Haziq atas tiketnya sebagai pelajar terbaik STAM seluruh Sabah. Tapi, apa yang berlaku, Haziq tidak mendapat manfaat atas usaha kerasnya untuk berjaya.
Apa-apapun, semoga pihak-pihak yang berwajib dapat mengambil i'tibar daripada apa yang berlaku kepada Haziq ni. Jadilah sebuah kerajaan atau badan yang prihatin dengan kebajikan rakyat, termasuk la pelajar-pelajar yang ingin menyambung pengajian. Jangan double-standard dengan terlalu melebihkan bidang-bidang pengajian tertentu dan mengabaikan bidang pengajian yang lain pula.
Kepada badan zakat negeri pula, jangan terlalu sayang untuk memanfaatkan duit yang bertimbun-timbun tu. Sebaliknya, berilah kepada mereka yang memerlukan. Hanya beberapa puluh ribu sahaja diperlukan bagi menampung pengajian seseorang pelajar di Mesir selama 4 tahun.
Untuk pengetahuan umum, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada tahun lalu (2008) berjaya merekodkan kutipan zakat tertinggi dalam sejarahnya, iaitu sebanyak RM23.8 juta. Jika dibelanjakan sebahagian kecil daripadanya untuk menampung pelajar-pelajar dari Sabah yang ingin menyambung pengajian di Timur Tengah, masih banyak lagi yang lebih dan boleh digunakan untuk kebajikan masyarakat Sabah. Pelajar-pelajar ini pula setelah tamat pengajian mereka, mereka akan kembali semula untuk berkhidmat kepada masyarakat Sabah. Bukankah ini suatu pelaburan yang bermanfaat?
Jika mereka dibiarkan dan tidak dibantu, maka ramailah pelajar-pelajar yang akan terbantut hasrat mereka untuk mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi, dan timbullah pelbagai gejala yang tidak sihat sera keruntuhan akhlak di kalangan remaja di Sabah.
Kepada Haziq, semoga anda terus tabah, dan berdoalah supaya Allah membukakan pintu-pintu rezekiNya yang luas. Amiiin~!














0 budak nakal dah komen:
Post a Comment
Terima Kasih Untuk Komen Anda!