Pages

01 January 2010

Cuit-Cuit : Berhikmah Dalam Berda'wah

SITUASI 1

"Zack, ustaz mana yang datang berda'wah tadi tu? Nasib baik aku tak ade dekat kau."
"Ala.. tu bukan ustaz. Tu Nasri. Budak dari Kulliyyah Ekonomi. Dia tanya pasal bisnes kitorang."
"Oo... Aku ingatkan dia nak 'cuci' otak kita. Siap pakai kopiah, jubah lagi, macam tok lebai."

....


SITUASI 2

"Zam, jom la join kitorang pergi masjid malam ni. Persatuan XX buat qiyamullail. Kau kan tak pernah join lagi?"
"Eh, tak pe tak pe. Aku ade assignment nak kena hantar esok ni. Korang pergi la."
"Apa kata ko buat assignment ko kat masjid?"
"Eh... er... er... tak boleh Usin. Aku dah janji dengan si Botak nak buat sama-sama. Aaa.. em.. Ha.. dia tengah tunggu aku kat bilik tu. Ha.."

....


Pernah dengar dialog-dialog seperti di atas?

Mungkin korang pernah beberapa kali berhadapan dengan situasi macam ni. Kadang-kadang kita terfikir, bagaimana cara sepatutnya untuk mendekati golongan seperti mereka... Di mana silapnya... Adakah mereka memang tak dapat didekati? Dan adakah mereka selama-lamanya akan menjauhi golongan Da'i (penda'wah)?

Pak Din terkenang kisah salah seorang pejuang Islam, ketika dia mengeluh mengenai usaha da'wahnya yang tidak disambut dengan baik oleh golongan sasarannya. Dalam keadaan begini, biasanya kebanyakan orang akan mengeluh dan berkata, "Hm... kenapalah diorang ni payah sangat nak dengar cakap kita? Islam bukannya payah sangat. Islam tu indah, syumul. Ikut je la. Kita berda'wah habis cara dah, tapi tak ramai pun yang nak follow."

Tapi, apa yang dikeluh oleh pejuang tersebut? "Aku rasa, usaha da'wahku masih belum cukup. Sebab itu masih ramai yang belum memahami kebenaran Islam. Aku perlu berusaha lebih kuat lagi."

Anda nampak perbezaan antara mereka? Begitulah pemikiran orang yang betul-betul faham nilai dan metodologi dalam berda'wah.

Lalu, adalah tidak wajar untuk kita menyalahkan mereka jika mereka menjauhi orang yang mengajak mereka kepada kebaikan. Mungkin sekali punca tersebut datang dari diri kita sendiri. Mungkin juga usaha kita belum cukup. Atau mungkinkah ada di antara cara kita yang tidak bersesuaian dengan waqi' (realiti) hari ini?


1. Da'wah perlu mengikut arus.

Dalam dunia yang serba tunggang langgang ini, perlu kita ubah beberapa cara dalam usaha kita mendekati mereka. Tidak salah untuk mengubah pendekatan. Tidak salah untuk menyalahi cara orang terdahulu. Cara mereka bersesuaian dengan masyarakat di zaman mereka, namun tidak semestinya bersesuaian dengan zaman kita. Kita tidak menolak cara mereka, tetapi kita melaksanakan sesuatu yang mengikut arus. Jangan sampai orang lain dah pakai laptop menjelajahi dunia tanpa sempadan, kita masih dengan pen tak ke mana. Alasannya, mengikut resam orang terdahulu.

Internet kini menjadi suatu lapangan ilmu dan da'wah yang amat luas. Sehinggakan usrah pun dijalankan secara online. Ayah Pak Din pernah join usrah ni suatu ketika dahulu dan Pak Din lihat, banyak jugak perkara yang mereka kongsikan untuk ahli-ahlinya. Blog-blog da'wah pun sudah bertumbuh mengalahkan cendawan selepas hujan. Sungguh rugi jika kita tidak pandai menggunakan kelebihan-kelebihan yang ada. Jangan sesekali kita lupa, kita berda'wah, dan dalam masa yang sama, puluhan ribu orang lain juga turut sibuk berda'yah menyebarkan agama mereka. Jika kita lalai, mereka akan naik dan kita pula akan tenggelam.


2. Mendekati golongan sasaran (Mad'u)

Golongan sasaran ada pelbagai jenis. Ada yang terlalu jauh dari Islam sebenar, ada juga yang sederhana, dan ada juga yang memang sudah terbiasa dengan ajaran Islam (bersekolah di sekolah agama, maahad tahfiz, dsb.)

Yang terlalu jauh itu, perlu kita dekati, untuk bawa mereka kepada Islam dan ajarannya yang sebenar.

Yang sederhana itu, perlu kita perhati dan tunjukki, agar mereka boleh menjadi penyokong kepada jentera-jentera da'wah.

Yang sudah terbiasa itu, perlu kita tarbiyahi dan beri motivasi, untuk memperkasakan jentera kita agar tidak mudah rosak di tengah jalan.

Namun, penekanan yang ingin diberi di sini ialah kepada mereka yang beragama Islam, tetapi kurang memahaminya, sehingga boleh tercetusnya dialog-dialog seperti di atas.

Kita ingin mendekati mereka sebagai golongan muda yang sebaya dengan mereka, tetapi kadang-kadang caranya tidak berapa kena. Pak Din contohkan mat rempit. Korang rasa, sesuai tak kalau kita pergi kepada mereka dengan berserban / berkopiah, berbaju Melayu, dan mengajak mereka kepada kebaikan dan meninggalkan perbuatan merempit mereka tu?

Di universiti-universiti pula, dengan ragam pelajar yang pelbagai, korang rasa dengan penampilan seperti tadi, mudahkah untuk kita berkawan dengan golongan pelajar yang pegangannya terhadap ajaran Islam adalah rapuh (merokok, mengabaikan solat, gambling)?

Niatnya memang baik, namun hakikatnya, kebanyakan golongan seperti mereka sebenarnya berasa kurang selesa dengan sahabat-sahabat yang berpenampilan sedemikian. Jika anda masih kurang percaya, bermakna anda harus lebih banyak bergaul dengan mereka, selami sedikit perasaaan mereka, dan cuba rasai bagaimana 'takut'nya mereka terhadap ustaz-ustaz muda yang cuba datang kepada mereka tersebut.




Pemakaian memang menjadi suatu simbol yang melambangkan siapakah kita secara kasarnya. Pemakaian yang Islamic menunjukkan kita adalah sebahagian dari mereka yang sedang mendalami ilmu agama dan cuba mengamalkannya. Pentingnya pemakaian ini juga adalah kerana pemakaian sebegini menjadi salah satu syiar Islam. Orang akan tahu bahawa di sana ada golongan beragama yang boleh dijadikan rujukan. Orang akan tahu bahawa masih ada orang yang beragama Islam wujud di sekitar mereka (seperti di negara-negara Barat dan negara yang Muslimnya adalah minoroti).

Namun, dalam zaman yang realitinya adalah seperti dialog di atas, perlu kita lebih berhikmah dalam pergaulan kita bersama mereka. Hampiri mereka dalam keadaan mereka senang dengan anda. Jangan tampilkan sesuatu yang menyebabkan mereka berasa 'rimas' ketika berada di samping anda. Contohnya, anda datang kepada mereka dan tiba-tiba pulak anda terlebih ramah dengan mereka, kemudian anda tak henti-henti bercakap pasal da'wah, mendesak mereka melakukan kebaikan atau meninggalkan keburukan, yang tu salah, yang ini salah, dan pelbagai cara lagi. Semua perkara ini perlu dielakkan kerana tidak menepati konsep berhikmah dalam berda'wah dan akan menyebabkan usaha da'wah menjadi kurang berkesan.


Insyaallah akan bersambung dalam coretan yang akan datang.



::|| sEroNoTnyE bErbLoG ||::

0 budak nakal dah komen:

Post a Comment

Terima Kasih Untuk Komen Anda!

About Me

My Photo
x pandai nk berblog. harap sudi tunjuk ajar. hehe ^^,
back to top